Jumaat, 16 Disember 2011

Lahh, belum open rupanya...

Assalamualaikum wbt, semoga kita semua sentiasa di bawah peliharaan-Nya, InsyaAllah..

Cuti semester kali ini, penulis memang berhasrat mahu berjalan-jalan di bandar raya Johor Bahru a.k.a JB. Rindu rasanya dengan kemeriahan JB. Semacam sudah terlalu lama terperuk di dalam perut ibu kota Kuala Lumpur disebabkan tuntutan belajar di sana, kini sahut kemahuan diri mahu mengukur JB pula!

Pada hari Khamis bertarikh 15 Disember yang lepas, selepas menghantar ayah penulis di pejabatnya di sana, penulis bersama dengan seorang adik terus menghidupkan enjin kereta meninggalkan pejabat tersebut untuk ke satu destinasi yang telah dirancang. Hmm kali ini penulis mahu meninjau dan melawat sebuah muzium, Muzium Tokoh Johor. Dan muzium ini sebenarnya menggunakan bangunan bersejarah dan berciri Inggeris klasik yang sudah agak lama ditinggalkan. Bangunan yang siap dibina pada tahun 1890 ini ialah Bangunan Dato’ Jaafar yang mengambil nama Dato’ Jaafar sebagai Menteri Besar Johor yang pertama, lokasinya terletak di atas Bukit Senyum menghadap SMT Tanjung Puteri, JB. Apabila sebut pasal Dato’ Jaafar, beliau merupakan bapa kepada Dato’ Onn yang telah menubuhkan parti UMNO, juga datuk kepada Tun Hussein Onn (Perdana Menteri Malaysia ke-3) manakala Dato’ Seri Hishamuddin ialah cicitnya. Wah, memang keturunan pemimpinlah!






Baiklah, sekarang kita kembali semula kepada cerita Muzium. Dengar kata, muzium tersebut sudah dibuka kepada orang ramai. Sebenarnya penulis juga mahu melihat dengan lebih dekat keunikan seni bina bangunan lama ini yang merupakan juga bekas tempat asalnya Institut Bahasa yang kini telah berpindah ke KL, tempat penulis menuntut sekarang ini.

Tepat jam 3.15 petang, selepas mengharungi kesibukan trafik Jalan Wong Ah Fok dan jalan menghala ke Stulang, akhirnya penulis berjaya tiba di hadapan bangunan yang pernah menjadi ‘saksi’ kemajuan dan perkembangan bandar ini dari era kolonial lagi. Rasa teruja untuk masuk dan melihat serta meninjau di dalamnya, sesuailah dengan minat penulis terhadap keunikan senibina bangunan moden atau tradisi. Minat kepada senibina menyebabkan penulis cukup gemar dengan hobi ‘modelmaking’! atau membina miniatur bangunan dan diorama.

Sebelum direnovate... (gambar diambil di laman sesawang)




Ini gambar terbaru bekas bangunan Institut Bahasa (IB) penulis yang terbaharu...hehe, cantik tak?






Penulis bersama adik yang seorang ini mula melangkah masuk di pintu besar menyambut tetamu, ibarat masuk ke dalam sebuah mulut yang sangat besar seekor raksasa. Berkerut juga dahi kami berdua...tahu kenapa?

Pertama: kenapa tiada ‘reseption’?? Atau sebarang meja sambut tetamu ke, tiket ke...??

Kedua: kelam je suasananya... tidak banyak lampu yang di buka. Rasa seram pun ada, bangunan lamalah katakan...

Ketiga: di satu sudut, terdapat banyak peralatan dan perabut klasik dikumpulkan setempat seperti menunggu masa untuk disusun.

Keempat: ternampak seorang lelaki Melayu 30an rasanya, duduk termenung di kerusi memandang perabut-perabut klasik tersebut seorang diri...ayyoo!! macam penunggu bangunan lama...

Akhirnya, terciptalah satu perbualan ringkas antara kami...

Penulis: “Eerrr dah bukak ke?” (satu soalan ringkas yang bermaksud bahawa muzium ini sudah dibuka untuk dilawati?) sempat juga hati penulis bermonolog... (Ya Allah, teruknya aku ni!! Tak bagi salam pon, main segah je..ishh..lupa pulak, jangan buat lagi!)

Penunggu bangunan : “Eh, belum bukak lagi dik.. sekarang ni tengah sibuk bawa masuk barang..”. Kata Penunggu itu sambil tersenyum dan mengisyaratkan tangannya ke arah perabut-perabut klasik tersebut.

Penulis: “Oooh, agak-agak bila ek nak bukak?” Tanya penulis yang teringin sangat mahu masuk dan melawat.

Penunggu bangunan : “hmmm.. tu saye tak tahu lagi laa, kami tak pasti lagi bile masenye nak bukak nanti”...

Penulis : “Oh OK, errr terima kasih ye..” Balas penulis sambil tersenyum, terus beredar keluar dengan adik penulis.

Ketika melangkah keluar, sekali lagi teringat bahawa terlupa akan sesuatu... TAK BAGI SALAM! Ucapan mulia sebagai doa dan penghargaan kepada ‘penunggu’ tadi! Rugikan..? Senang-senang pahala beri ucapan salam terlepas begitu sahaja. Pengajaran untuk hari ini...

Hairan juga, rupa-rupanya muzium ini belum dibuka lagi untuk pengunjung datang melawat. Baru sebentar tadi, adik penulis memberitahu yang dia pernah terbaca di akhbar utama bahawa muzium ini sudah dibuka semasa penulis memandu ke muzium tersebut.
Persoalannya yang timbul sekarang ini ialah, yang mana satu penulis boleh percayai ni? Cerita adik penulis atau cerita surat khabar? Barang kali adik penulis tersalah baca rasanya dan mungkin juga akhbar tersebut tersilap membuat laporannya... (Arrhh, boleh datang waktu lain kan, takde apa yang perlu dikesalkan)... Wasalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan