Rabu, 22 Jun 2011

PENYAKIT UMAT-UMAT TERDAHULU...

Daripada Abu Hurairah ra katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
”Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”.
Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?”
Nabi SAW menjawab, ” Penyakit-penyakit itu ialah:

(1) terlalu banyak seronok
(2) terlalu mewah
(3) menghimpun harta sebanyak mungkin
(4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia
(5) saling memarahi
(6) hasud menghasud sehingga zalim menzalim”.

Jom kita lihat situasi sekarang... banyak contoh bukan?? Boleh disenaraikan malah mungkin tidak cukup sehelai kertas untuk menyenaraikan contoh-contoh dan situasi umat pada hari ini.

Umat hari ini, membarahnya budaya hedonisme di dalam diri mereka, suka akan keseronokan yang melampau, teruja dengan artis dan perkaya yang melekakan...

Umat hari ini, sesetengah mereka hidupnya dilihat terlalu mewah, seolah tidak tahu di mana rezeki melimpah ruah hendak dibelanjakan. Wang dan harta dikumpul untuk bertanding sesama mereka, malah berlumba menjadi no.1 dalam senaraian Forbes! Yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin...

Umat hari ini, mereka tipu menipu dalam mengejar harta... tidak percaya? Lihatlah drama-drama di skrin anda? Tidak habis-habis menonjolkan cerita mengenai perebutan harta antara adik beradik, rakan dengan rakan bisnes.. Bukankah drama dan filem sebegini merupakan cerminan realiti masyarakat kini?

Umat hari ini, marahnya semakin membara tanpa sedikit pun tanda reda.. marahnya semakin sukar dipadam sehingga terkesan ke generasi-generasi seterusnya.

Umat hari ini, hasad dengki dengan menghasut menjadi tindakan terlazim. Fitnah berlaku di mana-mana dengan pelbagai cara dan medium yang lebih berpengaruh. Tidak takut dengan azab yang telah dijanjikan untuk para pemfitnah di hari kelak.

Ingatlah, di dunia kita telah banyak ketawa, bimbang pula kelak di akhirat sana tangisan air mata berdarah pula menjadi peneman paling setia! Bersama-sama kita mengambil pengajaran daripada yang telah disabdakan oleh nabi Muhammad tersayang kita..

Rujukan :http://peribadirasulullah.wordpress.com

6 Perkara membuktikan nilai kerohanian telah rosak

Zunun Al-Masri pernah berkata :
1- Malas melakukan perkara kebajikan.


2- Menuruti nasihat syaitan.


3- Tidak peduli atau sedar bahawa kematian sentiasa menunggu kita. Ingatlah malaikat maut sentiasa turun melihat wajah kita sebanyak 70 kali setiap hari!

4- Berhenti berusaha untuk mencari keredhaan Allah SWT dengan maksud untuk mencari keredhaan makhlukNya.

5- Tidak menghindarkan diri daripada terjatuh kepada perangkap hawa nafsu tetapi menghindarkan diri dari jalan orang-orang yang soleh dan tidak hidup secara dengan nabi dan para sahabat.

6- Menyatakan kesalahan para awliya' dengan niat untuk mengikuti jalan yang sesat dan tidak menyebut amal soleh para awliya'.

Rujukan :
Kitab Tazkirah Awliya'. m/s : 58. Diambil dan dipanjangkan dari laman : http://peribadirasulullah.wordpress.com

Ahad, 12 Jun 2011

Reading Share 3 : Sejarah Pemikiran 1




Reading Share kali ini penulis mahu kongsikan sebuah lagi buku yang bertajuk SEJARAH PEMIKIRAN 1 yang dikarang dan disusun oleh Sulaiman Nordin. Tidak pernah pula penulis jumpa buku ini dipasaran tetapi penulis tertarik untuk membelinya ketika menghadiri satu forum yang membahaskan isu pengharaman ESQ 165 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak lama dulu. Penulis tertarik dengan buku ini kerana isinya. Isinya luas! Lagipun, penulis lebih rasa ‘percaya’ kerana faktor-faktor yang penulis agak titikberatkan contohnya sumber rujukan dan latar ilmu pengarang tersebut selain isi yang diminati penulis. Dengan sumber rujukan yang banyak, latar ilmu dan pengalaman pengarang serta gaya presentasi sesuatu buku itu antara faktor-faktor yang mampu meyakinkan penulis untuk membaca seterusnya mengamalkan apa yang baik di dalamnya. InsyaAllah.. Jadi, kepada para penulis buku jangan pandang remeh aspek-aspek berkenaan (haha..!).

Sulaiman Nordin, penulis hampir tidak pernah mendengar nama ini. Namun yang menariknya mengenai penyusun buku ini ialah beliau pernah mendapatkan ijazah dalam bidang sains di Australia dan UK seterusnya ijazah pengajian Islam di Umm Al-Qura, Mekah. Dengan pendidikan formal yang dialami dari dua sistem pendidikan yang bertentangan ini ternyata dapat memberi satu pengalaman yang amat berharga mengenai kepelbagaian pemikiran dan fahaman yang wujud di dunia ini. Latar pendidikan beliau ini membolehkan Sulaiman Nordin mendokumentasikan secara lebih kritikal dan terperinci menurut perspektif beliau berdasarkan pengetahuan dan pengalaman seterusnya disampaikan dalam bentuk penulisan sebegini. Dengan penerbitan buku ini, pembaca akan disajikan dengan maklumat-maklumat yang cukup luas dan sejagat. Memandangkan keadaan dunia yang semakin kompleks untuk kita alami dan fahaminya, penulisan beliau ini akan memberi kefahaman yang lebih mendalam dan pandangan yang lebih luas tentang makna-makna peristiwa yang telah dan sedang berlaku di seluruh saentero.



Penulis mengandaikan buku ini sangat bermanfaat sebagai bacaan tambahan malah boleh dijadikan satu rujukan yang penting sebenarnya. Banyak jawapan yang mampu menyelesaikan ketidakjelasan sebelum ini. Baiklah, penulis bawakan bab yang pertama. Bab ini, pembaca akan dijelaskan tentang konsep ILMU. Ilmu daripada pandangan Islam yang menyentuh kedudukan ilmu itu, hirarki ilmu, ilmu dari aspek hukum dan sebagainya. Seterusnya bab kedua menyentuh tentang SAINS WAHYU. Selepas pengenalan, pembaca diceritakan tentang perbandingan kitab-kitab Allah, cara pembukuannya, Al Quran sebagai mukjizat, fungsinya dan isu yang berkaitan.
Bab-bab seterusnya ialah menyentuh zaman Renaisans secara keseluruhannya, teori-teori seperti teori karut Darwin dan konsep penting serta intipati teori tersebut. Selain itu konsep-konsep lain yang disentuh dan dibahaskan ialah seperti Sekularisme, Rationalsime, liberalisme dan sebagainya. Hal ini ditambah dengan isu dan peristiwa besar yang bersangkut paut dengan fahaman-fahaman tersebut serta terbitan-terbitan fahaman lain selepasnya dan akhir sekali pandangan Islam terhadapnya.

Buku yang mempunyai 499 halaman ini juga menjelaskan juga apa itu apa itu Gerakan Iluminiti dan Orde Baru Dunia, siapakah dan bagaimana rancangan mereka, mengenal kepada Zionisme dan sejarahnya serta perbandingan antara Islam dengan Kapitalisme, Sosialisme, Komunisme dan banyak lagi. Peperangan minda (Ideological Warfare) ini dijelaskan sejelas-jelasnya. Bab-bab lain pula menyentuh isu alam sekitar dan kajiannya sebagai contoh salah satu tajuknya ialah Lubang Ozon: Suatu Andaian atau Fakta Sains? Pembaca juga akan diperkenalkan dengan sistem kewangan sedunia, krisis mata wang, pinjaman riba sebagai alat memperhambakan manusia serta analisis mengenai hak asasi manusia dari kacamata barat. Namun pengarang tidak lupa meletakkan pandangan Islam mengenainya. Buku ini benar-benar mendedahkan misinformation yang telah lama wujud dalam kotak minda ramai orang. Tambahan yang lain, fahaman Syiah, agama Buddha dan Hindunisme. Menariknya lagi, terdapat soalan pemahaman di dalamnya sebagai pengukuhan pemahaman pembaca. Akhir kata, penulis menyarankan... BACALAH! Milikinya kerana maklumat yang cukup baik, malah penulis merasakan ianya sangat berbaloi walaupun dengan harga hanya RM15.00 sahaja! Selamat Membaca!

p/s : Buku Sejarah Pemikiran 2 telah menyusul keluar ke pasaran pada bulan Januari 2011 yang lalu.

Selasa, 7 Jun 2011

TREND ‘TAQRABU AZ-ZINA’ SEBELUM BERNIKAH ...

Analogi Harimau dan Nyamuk

Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aummm!!!

Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu, apa yang terjadi? Sudah tentu ada di antara kita yang bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok di bawah katil, mengunci diri di dalam bilik mandi dan ada juga yang pengsan terus. Bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita.
Nggg!!!

Apa yang terjadi? Hmm, ia terbang bebas ke hulu, ke hilir. Ramai yang buat tidak hairan sahaja. Apalah yang perlu ditakutkan pada seekor nyamuk, hati berbisik. Cuma seekor.

Selalunya begitu, semua orang takut kepada perkara yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada perkara yang kecil. Sedangkan, jika ingin dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, mana lebih ramai?

Bandingan mudahnya, berapa kali setahun secara anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang?

Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, demam malaria, Japanese Encephalitis, kaki untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?

Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan benci berzina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.



Namun ramai orang yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitiviti untuk berhati-hati dengannya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang.

Setiap dosa besar bermula daripada dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah SAW dan generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah ahli dosa.

عن الأغرَِِِبن يسار المزني رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلي الله عليه وسلم : (( يا أيها الناس، توبوا إلي الله واستغفروه ، فإني أتوب في اليوم مائة مرة))(58) ( رواه مسلم)
“Dari al-Agharr bin Yasar al-Muzani radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda:
”Wahai sekalian manusia, bertaubat dan minta ampunlah (istighfar) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah seratus kali setiap hari.” (HR. Muslim)

Rasulullah SAW adalah manusia yang sentiasa bertaubat beristighfar kepada Allah, hal ini sebagaimana hadits di atas dan juga hadits berikut ini:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول: (( والله إني لاستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة))(57) ( رواه البخاري)

“Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, dia berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:”Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih dari 70 kali.”(HR.Bukhari)

Tidak hairanlah al-Quran menyuruh berawas pada perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah SWT, “Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah al-Isra’: 32).



Nyamuk-nyamuk Ikhtilat

Sms tanpa urusan, call tanpa urusan, dating tanpa mahram, chatting tanpa urusan dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.

Teknologi tidak salah. Tapi manusialah yang suka menggunakannya dengan tujuan yang salah. Berurusan atau bermuamalat dengan lawan jenis menggunakan teknologi-teknologi ini bukannya salah. Tapi manusia suka menggunakannya untuk bergaul bebas atau berikhtilat.

Apa itu ikhtilat? Ikhtilat ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa urusan. Dalam Islam, asal pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram, al-aslu fil ikhtilat haram.

Namun jika atas dasar urusan dan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Ia bukan dinamakan ikhtilat sebaliknya muamalat. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah harus iaitu al-aslu fil muamalat mubah.
Ada banyak urusan. Urusan jual beli, kerja, persatuan, pelajaran, khidmat kaunseling, dan sebagainya. Semua ini urusan. Ianya harus. Namun, ianya bergantung juga pada niat hati masing-masing.

Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, al-darurah tubiihul mahzurat bermaksud darurat membolehkan apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.
Namun, pembolehan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya, ada adab,akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, al-dorurah tuqaddar biqadariha bermaksud darurat diukur dengan kadarnya.
Masalahnya, ramai orang yang menjadikan urusan satu alasan untuk menghalalkan ikhtilat yang terlarang.Call, sms, dating, chatting berbaur peribadi yang diselit dicelah-celah urusan kian membarah sebagai budaya. Sekadar ingin bertanya,

Dah makan ke?
Tengah buat apa tu?
Esok nak pakai baju warna apa?
Dah tidur ke?

Adakah ini dikatakan urusan? Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa, bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing. Mungkin benar adanya urusan di sebalik pertanyaan-pertanyaan seperti ini bergantung kepada niat. Wallahua'lam. Kita hanya melihat luaran, Allah lebih tahu maksud dalaman.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan urusan?
Urusan adalah sesuatu yang apabila kita bentangkan depan Allah SWT, kita yakin kita mampu jawab dan berhujah depan Allah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was samada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah.

Sabda Rasulullah SAW,
عن النواس بن سمعان عن النبي قال: (( البر حسن الخلق. والإثم ما حاك في نفسك
وآرهت أن یطلع عليه الناس )). رواه مسلم. وعن وابصة بن معبد قال: (( أتيت رسول
الله e فقال: ( جئت تسأل عن البر؟ قلت: نعم. قال: استفت قلبك البر ما اطمأنت إليه النفس
واطمأن إليه القلب، والإثم ما حاك في النفس وتردد في الصدر وإن أفتاك الناس وأفتوك ))
حدیث حسن رویناه مي مسندي الإمامين؛ أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن.

Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda: Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya. (Hadis riwayat al-lmam Muslim)
Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu. Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu. (Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik).

Cinta Fitnah
Cinta yang asalnya suci dan bersih di hati setiap insan boleh tercemar apabila disalurkan dengan jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi apabila ditanya tentang bercinta sebelum bernikah, “Saya ingin tegaskan kembali apa yang selalu saya katakan, saya tidak memuji apa yang dilaungkan segolongan orang tentang pentingnya bercinta sebelum bernikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat.” (Rujuk buku Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi).

Katanya lagi, “Banyak orang yang memulakan cara bercinta dengan cara yang tidak benar, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia seringkali dilakukan oleh anak-anak muda ketika menikmati waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasanya yang sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudiaannya ketagihan. Awalnya bercanda tetapi akhirnya serius.”

Menghampiri zina semakin menjadi trend muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasulullah SAW mengingatkan:

حبك للشئ يعمى ويصم (رواه أحمد)

“Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuatkan kamu buta dan tuli.” (Riwayat Ahmad).

Soal cinta amat akrab dengan soal hati. Oleh sebab itulah hati perlu berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta dan sayang yang suci itu terheret menjadi rasa ingin sms selalu, call selalu, jumpa selalu. Seterusnya, hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarah anggota badan seperti lidah, tangan, kaki, mulut dan telinga, bertindak sesuatu secara salah. Ketika inilah fitrah menjadi fitnah.

Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang ‘berat-berat’ terus. Ia biasanya dimulai dengan yang ‘ringan-ringan’ dahulu atau yang disebut sebagai menghampiri zina.
Ingat pesan Nabi,

فالعين تزنى وزناها النظر
واللسان يزنى وزناه النطق
والرجل تزنى وزناها الخطى
واليد تزنى وزناها البطش
والقلب يهوى ويتمنى
والفرج يصدق ذلك أو يكذبه
(رواه مسلم والبخارى وأبو داود)

Mata itu berzina dan zinanya adalah memandang (tanpa keperluan),
Lisan itu berzina dan zinanya adalah bercakap (yang sia-sia, lucah dan sebagainya),
Kaki itu berzina dan zinanya adalah melangkah (untuk bermaksiat),
Tangan itu berzina dan zinanya ialah merangkul (untuk bermaksiat),
Hati itu berhawa dan berangan-angan,
Faraj membenarkan atau mendustakannya.

Dalam mengambil sikap berhati-hati menjaga hati, kita bukan sahaja takut hati asyik membayangkan persetubuhan luar nikah. Malah, jagalah hati daripada asyik membayangkan perkara-perkara yang menghampiri zina daripada sekecil-kecil perkara seperti berhubungan, berjumpa, berpelukan, bergeselan dan sebagainya. Jika terus dilayan, hati akan terheret jauh dan makin jauh. Anggota badan mula tidak keruan untuk bertindak tatkala menerima tekanan rajanya.

Remaja Yang Dikagumi Allah

Cinta fitnah yang tersalur dengan jalan-jalan menghampiri zina ini tidak ke mana. Orang yang memilih cara ini hanya memilih untuk disakiti dan dikecewakan samada di dunia atau di akhirat atau kedua-duanya sekali. Allah SWT mengingatkan kita,

الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين (الزخرف: 67)

“Teman-teman kesayangan pada hari itu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.”

Sama-samalah menjadi remaja yang memelihara kesucian diri. Remaja yang membina kualiti fardu Muslim insya-Allah akan dianugerahi Allah dengan Baitul Muslim. Baitul Muslim ini akan mencorakkan satu generasi masa depan yang hebat untuk membina masyarakat Muslim seterusnya negara dan khilafah.

Sabda Rasulullah SAW,
 عجب ربك من الشاب ليست له صبوة (رواه أحمد)
 Allah merasa takjub kepada pemuda yang tiada baginya rindu yang cenderung kepada kebodohan. (Riwayat Ahmad)


SUMBER ARTIKEL: Blog Fatimah Syarha, Labels: SOAL CINTA

Jumaat, 3 Jun 2011

sakit cikgu..!



Paparan video di atas merupakan rakaman seorang guru di Mesir yang melepaskan geram kepada beberapa orang anak muridnya.. semoga penulis dan sahabat2 yang bakal menjadi pendidik tidak memperlakukan sedemikian rupa kelak. Mendidik dengan ikhlas dan penuh kesabaran mesti menjadi azam kita semua..Amin. Kerjaya mendidik yang mengenalkan manusia lain dengan ilmu dan penghayatan baik ilmu duniawi mahupun ukhrawi ini mudah-mudahan menjadi satu 'saham' yang menguntungkan kita apabila di akhirat kelak.