Selasa, 31 Mei 2011

Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk (DDMM siri1)



Entri kali ini penulis mahu berkongsi sedikit pengalaman menyertai seminar Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk siri 1 (DDMM SIRI 1) yang dianjurkan oleh Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya secara bersama dengan IKRAM Subang Jaya. Seramai 60 peserta telah mengambil bahagian dan dikhabarkan pendaftaran sangat menggalakkan walaupun peruntukan tempat yang terhad. Alhamdulillah, penulis antara yang berkesempatan. 




Pada 15 Mei yang lalu, dengan lafaz Hamdalah penulis telah diberi peluang berkesempatan menghadiri sebuah program yang bermakna anjuran IKRAM cawangan Petaling Jaya (ikramPJ) di pejabat IKRAMPJ. Alhamdulillah, penulis bersama dua lagi sahabat didedahkan dan di’cerah’kan oleh tiga orang panel yang bukan calang-calang orangnya yang dijemput khas untuk program terbabit. Selepas pendaftaran peserta dan sarapan pagi, tepat jam 9.00 pagi bermulalah slot pertama dan kedua yang disampaikan oleh Akh Nicholas Sylvester yang juga ahli IKRAM lebih menjurus kepada penjelasan dan penerangan yang cukup teliti mengenai sejarah, struktur dan budaya serta amalan agama kristian. Muiqadimah penyampaian beliau dimulakan dengan sejarah dan latar belakang hidupnya mengenai sebelum dan selepas bergelar muslim. Banyak yang diperolehi penulis mengenai agama kristian yang sebelum ini hanya diketahui sedikit banyak melalui pembacaan sahaja.    

Slot seterusnya ialah berfokus kepada agama dan masyarakat Hindu yang disampaikan oleh Akh Kamarulzaman. Beliau menjelaskan mengenai kajian beliau mengenai sejarah dan struktu agama Hindu tersebut walaupun beliau sudah dilahirkan sebagai seorang muslim berketurunan India. Semangat mahu berdakwah yang tinggilah yang menggerakkan beliau untuk mengkaji agama Hindu yang sinonim dengan kaumnya. Satu fakta, agama ini mempunyai 330 juta tuhan! Banyaknya! Seingat sahabat penulis, beliau pernah memberi talk dalam satu program kerohanian di kampus kami suatu ketika dahulu. Akh Kamarulzaman juga merupakan ahli IKRAM daerah Hulu Langat. Penulis berpendapat seminar kali ini seakan-akan sebagai satu kuliah yang mengenalkan kita dengan kepelbagaian masyarakat dan agama seterusnya dikaitkan sedikit banyak disiplin ilmu perbandingan agama (comparative religion) secara asasnya. Sangat bermanfaat memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara multiracial.

Slot akhir ialah slot yang ditunggu-tunggu oleh penulis. Slot ini menampilkan seorang pendakwah berketurunan Cina yang sudah dikenali ramai. Beliau banyak bergerak dalam gerakan dakwah, menulis beberapa buku dan merupakan orang kuat kepada Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA). Beliau ialah saudara Ann Wan Seng! Rasa teruja juga penulis kerana sebelum ini pernah membaca beberapa buku karya beliau dan pada hari itu penulis berpeluang bersua muka dengannya. Peluang mesti diambil sebaik mungkin. Perkenalan dan bersua muka walaupun hanya sebentar antara penulis dan beliau setelah selesai slot akhir memberi banyak manfaat mengenai aktiviti dan pergerakan dakwah, pandangan dan harapan beliau. Tiba diakhir perbualan kami, ada satu soalan yang agak menarik telah diajukan oleh seorang akhwat peserta program tersebut. Soalannya berbunyi “Ustaz, dakwah yang bagaimanakah yang paling mudah kepada orang Cina?”  pertanyaan yang berserta kerutan dahi simbol keseriusannya disambut dengan gelakan kecil dan jawapan yang cukup mudah diberikan.. Ustaz menjawab, “Mudah saja, kahwin! Kahwinlah dengan orang Cina.” Jawapan beliau disambut ketawa kecil para peserta yang disekelilingnya. Namun, apa yang lebih penting beliau berkali-kali mengingatkan bahawa pendakwah dan orang Melayu sendiri perlu menampilkan akhlak yang terbaik, tunjukkan Islam mengajar dan mendidik manusia berakhlak mulia. Malangnya ramai yang tidak bersifat begitu lantaran kejahilan diri dalam menghayati Islam malah terus membuatkan Islam terfitnah dengan tindakan sebahagian umatnya. Wallahualam

Gambar-gambar dibawah yang sempat penulis rakamkan..

Akh Nicholas Sylvester sedang menyampaikan ceramahnya dan melayani peserta DDMM...


Slot seterusnya disampaikan oleh Akh Kamarulzaman...Ustaz Ann Wan Seng untuk slot terakhir. sempat juga beliau mempromosi dan menjual buku-bukunya. 'Setiap Kamu Adalah Pendakwah' merupakan buku yang sempat penulis dapatkan beserta tandatangan eksklusif daripada beliau.


Majlis penutup dirasmikan oleh Ustaz Fauzi selaku YDP IKRAM daerah Petaling Jaya. insyaAllah, program ini akan diadakan sekali lagi sebagai siri kedua pada lewat tahun ini. Siri kedua lebih kepada praktikaliti, yang membawa kepada peserta keluar menemui masyarakat dan bercerita mengenai ISLAM!

  
Takbir!! Allahuakbar!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan